Parti Damai Sabah yakin bertanding solo
Presidennya Berman Angkap berkata walaupun parti itu sudah ditubuhkan sejak 2013 namun baru kini mereka berasa yakin untuk menyertai pilihan raya selepas menyaksikan pelbagai situasi mengecewakan dalam pentadbiran kerajaan semasa.
“Apa yang lebih menyedihkan adalah kita sebagai rakyat Sabah bukan sahaja dipinggirkan daripada segi kemudahan infrastruktur malah turut berdepan sikap tidak jujur segelintir pemimpin dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya.
Berman turut mengkritik hubungan rapat kepimpinan kerajaan semasa dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain mempersoalkan sama ada kerajaan seumpama itu wajar diberi peluang sekali lagi.
“Kami di SPP rasa terpanggil untuk bertindak. Dahulu kami hanya berdiam diri tetapi selepas melihat situasi kepimpinan kerajaan sekarang parti tidak lagi boleh berpeluk tubuh tanpa melakukan sesuatu,” katanya semasa melancarkan jentera PRN Ke-17 SPP pada Sabtu.
Pada majlis itu SPP turut menerima sebanyak 1,000 borang keahlian, melantik penyelaras pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kudat dan Kota Marudu serta pengerusi-pengerusi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) berkaitan.
Parti terbabit juga melancarkan laman web rasmi dan buku Tindakan Sabah Hebat Semula.
Sementara itu Berman berkata sebanyak 53 kawasan Dun dan tujuh kawasan Parlimen sudah mempunyai pengerusi masing-masing bagi membentuk jentera pilihan raya namun beberapa penambahbaikan masih diperlukan sebelum PRN17.
Views: 20